Sunday, November 29, 2009

Tangis Sanubari

Teman
Bila hati ini terusik
Bererti aku ingin bergemersik
Dalam syahdu merangkai butir kehidupan
Di sini aku berdiri
Mengharap bulan kan menyinar kembali
Kerana aku rindu padanya
Seperti kelam di seluruh pelusuk jiwa
Kerana aku tiada berteman

Bila tangis ini ditangisi
Bererti air mata ini bukan untuk dikongsi
Titis-titisnya adalah luahan hati yang tersendiri
Linangannya adalah pengubat sendu hati
Lalu diri teruji
Untuk kesekian kali
Pasti...

Kehidupan ku ini adalah ranjau
Di setiap likunya penuh dengan dugaan
Benci pada hati yang terasing
Sakit pada diri yang terpaling
Dari tatapan Al-Qadim
Lalu aku cari sinarnya
Di balik-balik setiap rintih
Di tepi gerhana kasih
Terlihat suatu jerih
Lantas diri bertatih
Perlahan-lahan membetulkan setiap langkah
Supaya diri tak lagi terasing di bumi gersang

Apabila diri bersedia
Bermulalah sebuah lagi pengembaraan hidup yang hakiki
Tersedia sebuah lapangan mimpi
Untuk diri mulai merasai nikmat kasih sejati
Bukan imaginasi
Tapi di bawah naungan Illahi
Kala itu
Aku mampu bersendiri
Kerana ditemani sebuah kebahagiaan abadi
Berkat iman dalam sanubari...

Wednesday, November 25, 2009

Dari Kaca Mata Seorang Adam

Bila senja berlabuh
Malam memutarkan kegelapan waktu
Lantas camar bergegas pulang ke sarang
Langit biru bertukar kelam
Dan aku masih di sini
Di daerah tidak berpenghuni

Dalam hidup seorang insan
Ada mata yang memerhati
Ada telinga yang mendengari
Ada jejak yang diikuti
Tidak semua sempurna
Ada yang tercela
Ada juga dusta
Ada duka
Lara…

Bila ada yang memerhati
Diri mula merasa perit
Kerana ada pahit yang terpalit
Ada titipan yang sulit
Membelit urat-urat saraf
Melingkari pelusuk ruang terselit

Mengapa ada duka?
Mestikah dusta tercipta?
Walau diri begitu setia?
Walau hati tetap padanya?
Kerana dia suka menduga
Teman yang setia

Kerana padanya dugaan itu penguat jiwa
Perangsang hati pabila lara
Pengingat di kala alpa
Di dalamnya tersurat seribu satu rahsia
Ini adalah cerita
Kisah yang duka
Dari kaca mata seorang Adam

Adam
Beban terpikul berat disandar
Di bahu sarat di pegangan terlucut
Wasiat dari penghulu Timur
Katanya
Jangan sekali-kali melanggar wasiat
Andai tak ingin hidup melarat
Kalau tak mahu ditimpa yang dahsyat-dahsyat

Ini adalah syariat
Kata Adam,
Ini adalah kehidupan
Pinjaman dari Tuhan
Bukan kekal selama di hayat
Sementara menunggu ketibaan pembawa zat
Jangan alpa ketika berada
Jangan leka bila berkata-kata
Ambil masa
Ruang bicara
Sendirian…

Sujud ini
Kata Adam,
Hanya satu
Bukan banyak mana
Cuma Satu
Hanya satu
Tiada yang duanya

Diri tak segah mana
Kata Adam,
Itu cubaan
Ujian demi ujian
Untuk lulus sepintas laluan
Sepantas kilat mahunya ditampan
Perlu lulus
Ujian demi ujian

Sang Pencinta
Dengarkah dikau setiap keluhan kata-kata?
Nampakkah dikau setiap sujud di merata?
Kerana aku lemah
Insan kerdil
Lemah…
Dengarlah bisikan ini
Yang memuji-muji
Rindu pada Sang Pencinta ini
Bukan boleh ditahan-tahan
Kerana rindunya datang bukan kepalang
Tanpa sedar rindunya menghilang
Terbang, terawang…

Kata Adam,
Dan aku masih di sini
Sendiri
Terus memerhati
Melewati hari-hari sepi
Bersama iringan zikir pemuja
Menitip dosa-dosa hamba
Yang terlalu berbisa
Mengharap belas ehsan selamanya
dari yang Maha Esa…

Wednesday, November 18, 2009

Jangan Ambil Hati Ini

Sepi malam merundung kesunyian
Siulan angin memipih jurai rambut
Sedang aku dibuai melodi rindu belaian
Lamunan menerbangkan aku ke lembah kesayuan
Angin terus menyapa syahdu…

Malam ini aku sendiri
Melewati sepi dingin lewat hari
Rindu pada mimpi
Rindu pada hati
Hati yang di bawa pergi
Si pencuri mimpi

Jiwa ini mati
Andai hati di bawa pergi
Jiwa ini mati
Andai kasih tergadai di sini
Jangan ambil hati ini
Pulangkan pada empunya diri
Kerana diri ini tak punya yang lain lagi
Kerana diri ini sendiri
Jangan ambil hati ini

Jiwa ini kosong
Bila seluruh mimpi berlari
Bila seluruh ruang gema berperi
Menyanyikan lagu sepi
Menjeritkan suara sunyi dalam alunan terkunci
Sedang hati merintih lagi
Jangan ambil hati ini

Diri ini sendiri
Tiada yang sudi menemani
Kerana semua telah pergi
Pergi membawa diri dan hati
Kerana takut diambil si pencuri hati
Kerana takut bersendiri lagi
Jangan ambil hati ini

Jangan ambil hati ini
Jangan ambil hati ini
Jangan…
Aku berserah andai hati tak lagi ku temui
Andai suratan takdir begini
Tapi,
Aku masih punya mimpi
Mimpi tentang hati
Hati yang berseri-seri
Hati yang berwarna-warni
Hati yang tidak lagi sendiri
Hati yang suci murni
Hati yang redha…
Kerana tika itu
Mimpi menemukanku dengan cahaya hati
Mimpi menemukanku dengan kekasih sejati
Mimpi memenuhi jiwaku dengan sinaran abadi
Semua itu mungkin terjadi
Di suatu hari pasti
Pabila aku bertemu Ilahi…

Monday, November 16, 2009

Cahaya

Aku ibarat kelip-kelip
Menjadi cahaya tika gelita
Tika terang aku berduka
Kerana terang aku menghilang
Dalam terang aku kelam

Aku ibarat kelip-kelip
Walau ramai aku keseorangan
Cahayaku tak mampu lagi menjadi peneman
Kerana aku tidak segah neon
Neon yang berwarna pelangi
Dan kau adalah cahaya
Cahaya yang menerangi aku
Tika aku diselubung kegelapan
Terang yang sukar dicari ganti
Menyuluh sinaran abadi

Aku ibarat kelip-kelip
Yang tandus cahaya hati
Tika rindu aku berlagu
Tika sepi aku mencari
Cahaya yang bukan diriku sendiri…

Sunyi,sepi,sendiri...

Suasana suram, sunyi dan sepi membuatkan kita berfikir tentang diri, hidup dan perjalanan hidup kita sebagai seorang manusia, dan bagi aku, suasana sunyi sepi dan bersendiri ini memberikan aku ilham yang entah dari mana datangnya dan dengan secara tidak sengajanya lahirlah puisi yang aku sendiri cipta. Pada aku, hidup kita di dunia ini akhirnya tetap akan sendiri tida kira walau berapa ribu atau juta kawan yang kita adapun. Kadang-kala, sunyi itu perlu supaya kita berfikir tentang diri kita sekali-sekala. Aku suka keadaan ni... mari kita sama-sama renungkan hidup kita...

Sunday, November 15, 2009

Musafir Rindu...

Di sini ada rindu yang terukir
Ada sayang yang menyisir
Ada cinta yang lahir
Atas sebuah keikhlasan
Keraguan yang menjadi batas sebuah kejujuran

Aku menagih cinta ini
Untuk sebuah kehidupan abadi yang aku ingini
Mencari pengabdian diri untuk sebuah
Cinta yang hakiki

Sendiri aku mengejar bayangan
Untuk mengenal erti sebuah percintaan
Kasih mana yang aku cari?
Cinta siapa yang aku dambai?

Ini adalah kisah aku
Kisah insan yang mencari kasih sejati
Mungkinkah dapat aku rasai
Cinta...
Kerana cinta lahir aku ke dunia ini
Kerana cinta tercipta hidup ini
Dan kerana cinta,
Aku kecewa...

Hidup ini ibarat daun,
Malar hijau tika segarnya
Gugur ke bumi pabila senja
Lalu layu, gugur tiada makna...

Apakah itu saja?
Putaran yang mengelilingi kehidupan manusia
Apakah itu saja?
Pengakhiran sebuah perjalanan kehidupan kita
Apakah itu saja?nilai kasih sayang manusia

akhirnya
kita tetap sendiri
menanti sinar yang tak diketahui
keraguan yang menjalar tangkai hati
cinta yang takkan mungkin hadir pasti...

Friday, November 13, 2009

kisah di sebalik kata-kata...

Tidak semua manusia menganggap hidup ini adalah satu cabaran untuk sebuah kehidupan hakiki yang indah kelak, dan tidak semua manusia menganggap hidup ini adalah ibarat sebuah pentas lakonan yang diperwatakan oleh manusia itu sendiri. Tidak semua manusia juga menganggap cinta itu penting dalam meniti kehidupan yang terasing di dunia ini. Setiap manusia lahir dengan kisah mereka yang tersendiri; merangkak, berjalan dan berlari, itu adalah lumrah kehidupan manusia yang penuh dengan hitam putih, suka duka, gelak tawa dan air mata. Cinta itu suatu kemestian. Cinta yang membahagiakan kita, cinta yang mengalirkan tangisan dari mata hati kita, cinta yang membawa kita pergi jauh ke dasar jiwa manusia dan cinta yang melayangkan kita ke destinasi prarasa. Kendatipun, tidak kira apa jua yang terjadi, kita tetap berlari. Mengejar impian yang diharapkan pasti. Harapan itu tetap ada, perasaan yang memangkinkan kita untuk terus mencari sebuah kehidupan yang akan kita ratapi ketiadaannya di kemudian hari. Kehidupan yang dianggap sebagai sebuah cabaran untuk meraihnya, dan kehilangannya memberi kesan jutaan titisan air mata. Bukan mudah mendapatkan kasih sayang dari seorang insan bernama manusia, segalanya bermula dari hati, disertai dengan kesucian dan keikhlasan diri, dimuliakan insan itu lebih daripada hati sendiri, dilukiskan wajah insan itu di lakaran nurani dan terciptalah perasaan yang membawa makna CINTA yang sejati. Sedari itu, jangan mudah mengalah. Sekali tersungkur bukan selamanya rebah, sekali jatuh bukan bererti kalah, sekali tersandung bukan pula lelah. Jadikan itu pengolah yang terbaik dalam mengecapi nikmat kehidupan. Pengalaman berharga yang diterima oleh akal adalah untuk dicerna menjadi penguat dalam menghadamkan beban-beban kesilapan lampau dan hari muka yang tidak diketahui pasti. Ini adalah kisah seorang manusia, insan dan juga hambaNya yang mencari erti dan nilai sebenar kehidupan hakiki ini. Setiap kata yang terucap adalah mukjizat daripadaNya, setiap kebaikan yang berlaku adalah keajaiban daripadaNya dan setiap kesilapan adalah hasil daripada hamba yang leka. Ini adalah kisah di sebalik kata-kata…