Thursday, December 31, 2009

Persoalan hati, jiwa dan rasa...

Ku tanya pada hati
Adakah aku benci?
Ku tanya pada jiwa
Adakah aku sengsara?
Ku tanya pada rasa
Adakah aku kecewa?
Lalu sanubari menjawab,
Tidak!

Kata sanubari
Ianya hanya mainan mimpi
Gurauan dalam sepi
Percikan halusinasi yang membakar diri

Lantas hati berkata
Segalanya adalah realiti
Bukan mainan mimpi
Dan dicipta oleh akal manusia sendiri

Mengapa ada derita?
Bila bahagia tercipta
Mengapa terluka sedangkan terlalu cinta?
Mengapa kecewa sedangkan sungguh teruja
Persoalan hati yang iri
Persoalan jiwa yang lara
Persoalan rasa yang binasa
Akhirnya membentuk sebuah ceritera cinta yang duka
Segala rasa dipendam begitu saja
Terbiar…

Lantas ku usir lara
Ku pendam duka
Ku sematkan kekuatan di jiwa
Untuk menempuh hari-hari muka
Dengan penuh sempurna
Mengharapkan segalanya akan kembali seperti biasa
Pabila aku buka mata semula

Aku ingin berlari
Di atas kaki sendiri
Tanpa sebarang kekangan
Mahupun gurauan silam
Kerana aku punya hati, jiwa dan rasa yang kental
Untuk aku merempuh ranjau kehidupan yang penuh kelukaan
Kerana aku ingin menjadi insan yang mengerti
Makna sebuah kehidupan,
Keseorangan
Kesepian
Kesedihan
Takkan lari dari bertandang
Peneman di kala suram
Kerana itu
Aku harus tabah
Jangan tersilap langkah
Kelak membawa padah

Di sini
Aku mengabdikan diri
Untuk sebuah kecintaan hati
Mencintai diriku sendiri
Hanya diriku
Kerana
Aku adalah aku…

Monday, December 28, 2009

Aku ingin lari...

Bila sepi hati ini akan berhenti?
Dari berputar di ruang waktu yang sempit
Kerana jiwa ini tak mampu lagi menanggung
Perit sunyi dan sendiri
Bila sepi hati ini akan termati?
Dari mainan ilusi mimpi
Kerana jiwa ini sakit dipermain
Fantasi berhasad dengki

Hati ini sepi kerana kurangnya berkata-kata
Hati ini sepi kerana lekanya dibuai ilusi
Imaginasi yang takkan menjadi realiti
Angan-angan yang hanya terawangan
Takkan berpijak di bumi hakiki
Aku benci…

Bawalah aku pergi serikandi sakti
Jauh ke daerah paling suci
Yang takkan mampu dikejar culasan mimpi
Yang takkan mampu dicari oleh bayang-bayang sepi
Terbangkanlah daku ke sana
Sekelip mata tiada terasa
Lekas, sebelum sepi ini membunuhku…

Panggillah seribu pahlawan-pahlawan legendamu
Mengiringiku ke lembah kebahagiaan
Kerana aku gusar
Pemburu bayang sedang menghampiri
Untuk meragut derai tawa yang bersisa kini
Aku mati…

Pergilah sepi
Pergi
Dan jangan dikau kembali
Hadirmu takku mimpi
Pergimu acapkali ku nanti
Pergi…

Sampai di sini
Kisahku terhenti
Kerana destinasiku ada di depan pasti
Menungguku bersama bidadari syurgawi
Di situ cukup untuk aku dan diriku
Bersemi bersama realiti
Kerana aku ingin lari…
Mencari sinar abadi
Dan melepaskan diri ini
Daripada cengkaman,
Sepi…

Saturday, December 19, 2009

Bila berbicara tentang cinta...

Bila kita berbicara tentang cinta, bermacam-macam fantasi yang mengalun di sebalik tirai rasa, berbagai-bagai kisah yang terpapar di dada jiwa… tetapi di sebalik makna cinta itu sendiri, dapatkah kita tafsir dengan hati tentang apa sebenarnya cinta itu? Cinta pada dasarnya sebuah perasaan yang mengungkitkan bait-bait kasih dan sayang. Tidak kira perasaan itu ditujukan kepada sesiapa, yang penting, luahan rasa itu disalurkan melalui sekeping jiwa yang mempunyai mata, mata hati. Cinta wujud kerana manusia punya rasa kasih, rasa sayang untuk seseorang yang ingin dikasihi. Cinta sebenarnya bukan sekadar kata-kata, cinta juga bukan melalui sentuhan, dan cinta bukan hanya daripada pandangan mata, cinta lebih daripada itu… Melangkaui batas masa, menerobos ruang jiwa, cinta jauh berada di dasar hati. Hati manusia yang takkan pernah tandus, yang takkan pernah kering untuk mencurahkan rasa kasih buat seorang insan. Cinta bertitik tolak daripada hati, hanya hati kita tahu kemahuannya sendiri, kerana dia lebih mengerti apa yang diingini. Hati takkan pernah berdusta, mata takkan pernah berbohong, dan jiwa takkan pernah menafikannya. Cinta itu ada dalam hati setiap daripada kita, tidak mungkin dapat disangsi. Ambil ruang, hitung detik, luahkan rasa cinta kita pada mereka yang kita cinta, tak kisahlah jika kita bertepuk sebelah tangan, atau dia, apa yang penting dan lebih pasti, kita meluahkannya. Jika kita cintakan seseorang, luahkan… kita tidak akan rugi apa-apa. Bahkan kita akan merasa bahagia kendatipun hanya kita yang merasakannya. Kisah hidup manusia takkan pernah ada kesudahannya, kisah tersebut akan terus berulang-ulang hingga akhir zaman. Kisah inilah yang mewarnai kehidupan manusia dahulu, kini dan selamanya, dan kisah ini ialah kisah cinta yang akan berterusan kesinambungannya hingga kita menutup mata. Kuasa cinta menghidupkan jiwa manusia, yang melahirkan rasa bahagia, memutikkan semangat sanubari dan mengalirkan air mata kasih bila hati dan jiwa dirundung sedih. Kuasa cinta menghidupkan manusia…

Thursday, December 17, 2009

Sahabat, dunia dan akhirat...

Tak semua daripada kita yang bernafas di atas muka bumi menyedari, atau menganggap betapa pentingnya kehadiran seseorang yang digelar kawan, sahabat, atau apa saja gelarannya yang kita gunakan untuk menggambarkan seseorang yang bukan ahli keluarga kita sendiri yang rapat dengan kita. Pernahkah kita terfikir, bahawa seorang sahabat itu sama pentingnya dengan abang, kakak atau adik kita? Pernahkah terlintas di fikiran kita siapa yang banyak membantu kita selain daripada ahli keluarga kita sendiri? Tempat kita meluahkan segala rasa yang terpendam dalam jiwa lara kita? Tempat mengadu sebarang masalah bila kita dilanda musibah? Pernahkah kita terfikir semua perkara itu? Sahabat yang sejati, bukan mudah dicari, dan tidak semudah memetik jari untuk menggantikannya. Pernahkah kita fikirkan siapa di antara sahabat-sahabat kita yang acapkali membantu kita tika kita dilanda gundah? Sahabat yang berada di sisi kita bila kita menguntum senyum tanda gembira, bahagia, sahabat yang teguh di bahu kita bila kita hampir jatuh tersungkur. Hidup kita di dunia ini perlu sahabat sebagai peneman sepanjang hayat. Apa pula peranan kekasih dalam kisah asmara kita? Kekasih itu untuk berkasih-kasihan, bila kita terasa hati dengan kekasih kita, siapa yang akan kita cari dahulu? Sahabat, sahabat dan terus sahabat. Kekasih itu untuk memenuhi tuntutan peribadi, sedangkan banyak perkara yang kekasih kita sendiri tak mengetahuinya tetapi, sahabat kita lebih arif tentang kemahuan diri kita. Kenapa sahabat itu tak boleh menjadi kekasih kita? Sahabat itu teman dan juga kekasih kita, tak kira apa jua jantinanya, sahabat kekal sahabat. Biarpun jinjang pelamin membataskan hubungan kita dengan sahabat, tetapi ukhwah seorang sahabat itu kekal hingga ke tangga-tangga syurga melewati batas-batas masa. Kekasih mencintai kita, tetapi sahabat lebih daripada cinta. Bukan menidakkan cinta seorang kekasih, tetapi mengukuhkan peranan seorang sahabat sejati. Sahabat itu dekat walau berjauhan, dekat di hati, jiwa dan sanubari. Tiada apa yang diharapkan oleh seorang sahabat melainkan kasih sayang tanpa prejudis daripada seorang sahabat juga. Sama-sama tersenyum bila mengecap bahagia, sama-sama mengalirkan sedu-sedan tika melara jiwa. Apa tujuannya lembaran ini wujud? Lembaran ini wujud kerana adanya sahabat. Dari sahabat untuk sahabat, ambil masa dan renungkan kisah di sebalik kata-kata seorang sahabat ini, hargai sahabat anda hari ini, esok dan hari-hari seterusnya kerana biar mereka tahu bahawa kita menghargai mereka, bahawa sahabat ini menjunjung kasih dan bakti mereka serta perangsang yang meniti di setiap titian persahabatan itu. Ingatlah, sahabat itu penyangga diri kita yang sentiasa kita perlukan dalam susah mahupun senang, jangan sesekali melupakan mereka, maafkan andai ada hati yang terluka, dan jangan ego untuk pohon kemaafan. Kasih sahabat itu kekal, walau ajal meranjau badai, walau terpisah jasad dan nyawa…

Friday, December 11, 2009

Aku Ingin Menjadi Mimpi

Aku ingin menjadi mimpi
Yang indah
Yang pahit
Yang cerah
Yang kelam
dan yang samar
Kerana aku ingin bebas
Sebebas burung di awan
Berkicau merdu walaupun sendu
Mengepak gagah sayap walaupun lemah

Aku ingin menjadi mimpi
Kerana mimpi itu sempurna
Dalam apa jua bidang kuasanya
Kerana mimpi itu bererti
Dalam apa jua yang termeteri
Indah dalam fantasi
Pahit walau disangsi

Aku ingin menjadi mimpi
Mendakap bidadari syurgawi
Melakar istana fansuri
Berlari menuju pelangi
Melewati denai-denai imaginasi

Aku ingin menjadi mimpi
Kerana mimpi itu aku berani
Kerana mimpi itu menguatkan sanubari
Perihal kehidupan hakiki
yang takkan mampu dikecapi alam realiti
Tersendiri...

Aku ingin menjadi mimpi
Dalam mimpi aku tersenyum
Dalam mimpi aku menangisi
Sebuah pengabdian diri
Cuma sekali ini
Aku ingin menyepi
Membawa diri yang sunyi
Aku ingin mengejar mimpi-mimpiku
Supaya tak hilang ditelan redup dinihari
Mimpi yang panjang
Mimpi yang tiada pengakhirannya
Cuma aku sendiri
Di sini
Bersama mimpi
Kerana
Aku ingin menjadi mimpi...