Saturday, December 19, 2009

Bila berbicara tentang cinta...

Bila kita berbicara tentang cinta, bermacam-macam fantasi yang mengalun di sebalik tirai rasa, berbagai-bagai kisah yang terpapar di dada jiwa… tetapi di sebalik makna cinta itu sendiri, dapatkah kita tafsir dengan hati tentang apa sebenarnya cinta itu? Cinta pada dasarnya sebuah perasaan yang mengungkitkan bait-bait kasih dan sayang. Tidak kira perasaan itu ditujukan kepada sesiapa, yang penting, luahan rasa itu disalurkan melalui sekeping jiwa yang mempunyai mata, mata hati. Cinta wujud kerana manusia punya rasa kasih, rasa sayang untuk seseorang yang ingin dikasihi. Cinta sebenarnya bukan sekadar kata-kata, cinta juga bukan melalui sentuhan, dan cinta bukan hanya daripada pandangan mata, cinta lebih daripada itu… Melangkaui batas masa, menerobos ruang jiwa, cinta jauh berada di dasar hati. Hati manusia yang takkan pernah tandus, yang takkan pernah kering untuk mencurahkan rasa kasih buat seorang insan. Cinta bertitik tolak daripada hati, hanya hati kita tahu kemahuannya sendiri, kerana dia lebih mengerti apa yang diingini. Hati takkan pernah berdusta, mata takkan pernah berbohong, dan jiwa takkan pernah menafikannya. Cinta itu ada dalam hati setiap daripada kita, tidak mungkin dapat disangsi. Ambil ruang, hitung detik, luahkan rasa cinta kita pada mereka yang kita cinta, tak kisahlah jika kita bertepuk sebelah tangan, atau dia, apa yang penting dan lebih pasti, kita meluahkannya. Jika kita cintakan seseorang, luahkan… kita tidak akan rugi apa-apa. Bahkan kita akan merasa bahagia kendatipun hanya kita yang merasakannya. Kisah hidup manusia takkan pernah ada kesudahannya, kisah tersebut akan terus berulang-ulang hingga akhir zaman. Kisah inilah yang mewarnai kehidupan manusia dahulu, kini dan selamanya, dan kisah ini ialah kisah cinta yang akan berterusan kesinambungannya hingga kita menutup mata. Kuasa cinta menghidupkan jiwa manusia, yang melahirkan rasa bahagia, memutikkan semangat sanubari dan mengalirkan air mata kasih bila hati dan jiwa dirundung sedih. Kuasa cinta menghidupkan manusia…

2 comments:

  1. "Cinta wujud kerana manusia punya rasa kasih, rasa sayang untuk seseorang yang ingin dikasihi. Cinta sebenarnya bukan sekadar kata-kata, cinta juga bukan melalui sentuhan, dan cinta bukan hanya daripada pandangan mata, cinta lebih daripada itu…"

    "Jika kita cintakan seseorang, luahkan… kita tidak akan rugi apa-apa. Bahkan kita akan merasa bahagia kendatipun hanya kita yang merasakannya. Kisah hidup manusia takkan pernah ada kesudahannya, kisah tersebut akan terus berulang-ulang hingga akhir zaman. Kisah inilah yang mewarnai kehidupan manusia dahulu, kini dan selamanya, dan kisah ini ialah kisah cinta yang akan berterusan kesinambungannya hingga kita menutup mata."

    i love those quotes.
    and i love you. my friend.

    ReplyDelete