Thursday, December 17, 2009

Sahabat, dunia dan akhirat...

Tak semua daripada kita yang bernafas di atas muka bumi menyedari, atau menganggap betapa pentingnya kehadiran seseorang yang digelar kawan, sahabat, atau apa saja gelarannya yang kita gunakan untuk menggambarkan seseorang yang bukan ahli keluarga kita sendiri yang rapat dengan kita. Pernahkah kita terfikir, bahawa seorang sahabat itu sama pentingnya dengan abang, kakak atau adik kita? Pernahkah terlintas di fikiran kita siapa yang banyak membantu kita selain daripada ahli keluarga kita sendiri? Tempat kita meluahkan segala rasa yang terpendam dalam jiwa lara kita? Tempat mengadu sebarang masalah bila kita dilanda musibah? Pernahkah kita terfikir semua perkara itu? Sahabat yang sejati, bukan mudah dicari, dan tidak semudah memetik jari untuk menggantikannya. Pernahkah kita fikirkan siapa di antara sahabat-sahabat kita yang acapkali membantu kita tika kita dilanda gundah? Sahabat yang berada di sisi kita bila kita menguntum senyum tanda gembira, bahagia, sahabat yang teguh di bahu kita bila kita hampir jatuh tersungkur. Hidup kita di dunia ini perlu sahabat sebagai peneman sepanjang hayat. Apa pula peranan kekasih dalam kisah asmara kita? Kekasih itu untuk berkasih-kasihan, bila kita terasa hati dengan kekasih kita, siapa yang akan kita cari dahulu? Sahabat, sahabat dan terus sahabat. Kekasih itu untuk memenuhi tuntutan peribadi, sedangkan banyak perkara yang kekasih kita sendiri tak mengetahuinya tetapi, sahabat kita lebih arif tentang kemahuan diri kita. Kenapa sahabat itu tak boleh menjadi kekasih kita? Sahabat itu teman dan juga kekasih kita, tak kira apa jua jantinanya, sahabat kekal sahabat. Biarpun jinjang pelamin membataskan hubungan kita dengan sahabat, tetapi ukhwah seorang sahabat itu kekal hingga ke tangga-tangga syurga melewati batas-batas masa. Kekasih mencintai kita, tetapi sahabat lebih daripada cinta. Bukan menidakkan cinta seorang kekasih, tetapi mengukuhkan peranan seorang sahabat sejati. Sahabat itu dekat walau berjauhan, dekat di hati, jiwa dan sanubari. Tiada apa yang diharapkan oleh seorang sahabat melainkan kasih sayang tanpa prejudis daripada seorang sahabat juga. Sama-sama tersenyum bila mengecap bahagia, sama-sama mengalirkan sedu-sedan tika melara jiwa. Apa tujuannya lembaran ini wujud? Lembaran ini wujud kerana adanya sahabat. Dari sahabat untuk sahabat, ambil masa dan renungkan kisah di sebalik kata-kata seorang sahabat ini, hargai sahabat anda hari ini, esok dan hari-hari seterusnya kerana biar mereka tahu bahawa kita menghargai mereka, bahawa sahabat ini menjunjung kasih dan bakti mereka serta perangsang yang meniti di setiap titian persahabatan itu. Ingatlah, sahabat itu penyangga diri kita yang sentiasa kita perlukan dalam susah mahupun senang, jangan sesekali melupakan mereka, maafkan andai ada hati yang terluka, dan jangan ego untuk pohon kemaafan. Kasih sahabat itu kekal, walau ajal meranjau badai, walau terpisah jasad dan nyawa…

1 comment:

  1. hehe...
    nak tny nie??
    ak nie sahabat sejati ko ke??
    heheeh...
    sje merepek...
    tp ayat ko mmg puitis...
    erm...
    ak hrp kte jd sahabat dunia akhirat ye...

    ReplyDelete